[VIDEO] Ginie mahu rampas semula Machap Jaya

ALOR GAJAH – Pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya menjadi taruhan Datuk Ginie Lim Siew Lin untuk merampas semula kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

**media[3703018]**

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, peluang bertanding semula memberi ruang kepadanya menyambung khidmat kepada penduduk terutamanya dalam menyelesaikan beberapa agenda yang masih tertangguh sepanjang tempoh pentadbirannya sebelum ini.

Katanya, antara perkara yang mahu diberi perhatian ialah usaha mendapatkan tempoh pajakan tanah selama 99 tahun bagi kawasan perumahan Kampung Baru serta kelulusan projek pembinaan rumah generasi kedua di tanah rancangan Felda Hutan Percha.

Menurut beliau, kedua-dua perkara itu tidak dapat direalisasikan ketika beliau menjadi wakil rakyat sebelum ini berikutan tempoh pentadbiran yang singkat.

"Ini antara perkara yang kita tidak dapat laksanakan ketika saya menjadi wakil rakyat dahulu kerana tempoh pentadbiran yang singkat.

"Saya berharap sekiranya diberi peluang sekali lagi, saya dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan menyelesaikan perkara yang masih tertangguh,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan PH di Machap Umboo, di sini.

**media[3703019]**

Ginie berkata, beliau sudah mengunjungi lebih separuh daripada lebih 16,000 pengundi di kawasan berkenaan, termasuk penduduk di tujuh kampung Orang Asli, tiga kampung tradisi dan dua Kampung Baru.

Katanya, sambutan penduduk yang menyapanya dengan ucapan 'welcome back' sepanjang kunjungan itu turut memberi suntikan semangat untuk kembali berkhidmat.

"Saya terharu apabila menerima ucapan dan sokongan daripada penduduk dan ia menjadi tekad saya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Apabila saya terpilih pada 2018, saya hanya mempunyai masa yang suntuk untuk melaksanakan janji dan memenuhi keperluan semua pengundi," katanya.

Beliau yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 2006 berkata, pengalaman bertanding sebanyak empat kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12, termasuk kemenangan pada 2018, menjadi antara bekalannya untuk kembali menawarkan khidmat kepada penduduk.

Kata Ginie, beliau turut mempunyai pasukan khidmat berpengalaman yang masih bersamanya sejak menjadi wakil rakyat, termasuk bekas pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ahli majlis serta individu berpengalaman dalam agensi kerajaan.

"Kami tidak pernah meninggalkan penyokong walaupun pada pilihan raya lalu saya tidak bertanding. Apabila parti bertanding, kita tetap perlu meneruskan khidmat kepada pengundi dan penyokong.

"Perkhidmatan itu diteruskan menerusi platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kerjasama pusat khidmat di bawah pimpinan Adly Zahari," katanya.

Mengulas keutamaan pembangunan di Machap Jaya, Ginie berkata, hasil pertemuan dengan penduduk sepanjang kempen mendapati tiga perkara utama perlu diberi perhatian iaitu keselamatan, pembangunan ekonomi dan kemajuan tanah.

Beliau mahu memperluas peluang ekonomi serta pekerjaan untuk golongan muda, termasuk menerusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta latihan industri.

Katanya, kira-kira 20 peratus daripada pengundi di kawasan itu atau sekitar 4,000 orang berusia bawah 30 tahun, sekali gus memerlukan pendedahan lebih luas terhadap keperluan industri dan peluang pekerjaan.

"Saya mahu mereka mendapat maklumat tentang keperluan industri melalui karnival kerjaya serta program TVET.

"Saya juga mahu membantu petani dan peniaga kecil meningkatkan hasil serta meluaskan pasaran melalui perusahaan kecil dan sederhana serta agroteknologi, selain memperluas peluang latihan, pekerjaan dan perniagaan untuk golongan wanita," katanya.

Selain pembangunan ekonomi, beliau turut memberi perhatian kepada pemerkasaan ekonomi wanita luar bandar serta penambahbaikan infrastruktur kampung membabitkan jalan raya, kemudahan lampu dan bekalan air.

Dalam perkembangan lain, Ginie berkata, beliau sedang mengumpulkan aduan serta permintaan penduduk untuk dibincangkan menerusi dialog terbuka yang dicadangkan bersama calon Barisan Nasional (BN) dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) di kerusi berkenaan.

Katanya, dialog itu bukan bertujuan mengadakan perbahasan atau mencari kesalahan pihak lawan, sebaliknya menjadi ruang untuk semua calon membincangkan isu setempat secara matang agar pengundi dapat menilai tawaran masing-masing.

"Saya berharap kita dapat menunjukkan teladan yang baik dari segi budaya politik baharu dengan berbincang supaya penduduk atau pengundi dapat menilai sendiri apa yang boleh kami tawarkan tanpa memburukkan pihak lawan.

"Siapa sahaja yang dipilih sebagai wakil rakyat, masalah penduduk tetap perlu diselesaikan dan tiada gunanya menyalahkan pihak terdahulu," katanya.

Mengulas maklum balas calon BN terhadap jemputan itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung keputusan menolak cadangan berkenaan.

Katanya, beliau masih berharap calon terbabit mempertimbangkan jemputan itu demi kepentingan pengundi.